Kemal Ataturk 'bebaskan' wanita Turki
Mustafa Kemal Ataturk |
TOKOH revolusi Turki, Mustafa Kemal Ataturk pernah berkata, perubahan sosial hanya boleh berlaku melalui tiga perkara.
Pertama apabila pendidikan diberi kepada wanita. Kedua apabila kebebasan diberi kepada wanita dan ketiga, apabila lelaki menukar pemikiran apabila hidup bersama wanita.
Bertitik tolak dari itu, Turki berubah dengan sekelip mata.
Kini, golongan wanita di republik ini semakin melakar kejayaan dalam pelbagai sektor dari bidang akademik sehinggalah ke bidang politik.
Kesempatan berada di kota Istanbul baru-baru ini membuka mata saya betapa tokoh revolusi negara ini, Ataturk, seorang tokoh yang amat disayangi rakyatnya, berjaya mengubah sistem sosial Turki terutama dalam membuka peluang kepada wanita.
Tokoh Revolusi Turki
Ataturk, pengasas dan presiden pertama Turki itu, dilahirkan pada tahun 1881 di Salonika, Greece dan memulakan kerjayanya sebagai seorang askar.
Setelah kejatuhan Empayar Ottoman, beliau mengetuai Pergerakan Turki Nasional dalam peperangan untuk mencapai kemerdekaan dan membuat pembaharuan pada sistem politik, ekonomi dan budaya negara ini.
Ketua Pengarah Hal Ehwal EU di Kementerian Perdagangan Luar Turki, Husnu Dilemre berkata, Attaturk merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani.
"Beliau merupakan pengasas Turki dan hero kami.
"Kami merupakan negara yang pertama di Eropah dan dunia yang memberikan hak kepada wanita untuk mengundi orang pilihan mereka. Negara Eropah lain yang dikenali kononnya menegakkan hak asasi manusia sebenarnya mengikut jejak Turki," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dilemre berkata, perubahan bukan sahaja dapat dilihat menerusi kemajuan golongan wanita malah ia turut meningkatkan tahap pendidikan serta menerapkan nilai demokrasi.
Selain itu, revolusi yang dibawa Ataturk turut merubah struktur pemerintahan Turki dari sebuah empayar menjadi sebuah republik.
Pesanan Ataturk yang dipegang hingga kini
Pendidikan ketika itu antara fokus utama Ataturk.
Beliau mahu melihat golongan wanita bukan sahaja pandai menjaga anak-anak, membuat pakaian dan menguruskan rumahtangga malah dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
Ini dapat dibuktikan melalui kata-katanya yang menyeru wanita supaya bekerja keras untuk menimba ilmu.
"Wahai wanita: menangilah peperangan menerusi pendidikan, nescaya lebih banyak yang boleh kau sumbangkan kepada negara berbanding kami. Kepada kamulah, kami merayu.
"Kepada lelaki: sekiranya golongan wanita tidak dapat berkongsi dalam perkembangan sosial negara, nescaya kita tidak akan mencapai pembangunan sepenuhnya. Kita akan kekal ketinggalan dan tidak berupaya untuk melayan atas syarat yang sama dengan tamadun Barat," kata Ataturk ketika itu.
Mengenangkan sumbangan besar beliau kepada negara, setiap tahun pada 10 November dan tepat pukul 9.05 pagi, seluruh negara akan berdiam diri dan semua kenderaan akan berhenti selama seminit bagi menghormati pemergian beliau pada tahun 1938.
Kejayaan wanita Turki
Ataturk percaya wanita perlu diberi hak untuk mengundi dan dipilih menjadi pemimpin kerana demokrasi menetapkan ada kepentingan yang perlu wanita pertahan dan ada tanggungjawab sosial yang perlu wanita laksanakan.
Ini terbukti apabila beliau mengumumkan pada 5 Disember 1934 bahawa Turki memberikan hak kebebasan berpolitik sepenuhnya kepada golongan wanita.
Tindakan itu ternyata lebih awal berbanding beberapa negara Eropah yang lain.
Selain itu, hak sama rata untuk wanita dalam perkahwinan turut diwujudkan.
Hasil daripada dasar itu, lahirlah beberapa tokoh wanita yang prolifik antaranya Nezihe Muhittin, pengasas parti politik wanita pertama di Turki; Sabiha Gokcen, juruterbang pesawat perang wanita pertama di dunia dan Safiye Ali, doktor wanita pertama di Turki.
Ataturk sumber inspirasi
Sabiha Gokcen, wanita pertama yang menjadi juruterbang pesawat perang di dunia juga ialah anak angkat kepada Ataturk.
Ataturk yang pada ketika itu mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang, mendorong minat Sabiha untuk menceburi bidang itu yang dimonopoli golongan lelaki.
Sepanjang kariernya bersama Tentera Udara Turki, Sabiha berjaya menerbangkan sebanyak 22 pesawat dan mencatat jumlah jam penerbangan sebanyak 8,000 jam, yang mana 32 jam melibatkan pertempuran aktif dan misi pengeboman.
Selain itu, beliau juga berjaya melatih empat juruterbang wanita di bawah didikannya.
Sehingga kini, namanya disebut seantero dunia dan merupakan satu-satunya juruterbang wanita yang dipilih untuk poster 20 juruterbang terhebat dunia yang diterbitkan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada tahun 1996.
Harapan generasi muda
Ketika berada di ibu kota Turki, penulis sempat berkenalan dengan Ayse Denknalbant, pelajar tahun akhir kedoktoran bidang Arkeologi di Universiti Istanbul dan bertanyakan perasaannya tentang tokoh itu.
Ayse menyifatkan perubahan yang dibawa Ataturk, bukan sahaja membawa kemajuan kepada republik ini, tetapi seluruh strata sosial Turki sehinggakan golongan wanita ketika itu yang agak terbatas pergaulan dan tingkah laku, berjaya keluar dari kepompong itu.
"Bagi kami, perubahan yang dibawa membuka peluang yang luas bagi kami untuk mempelajari dan meneroka bidang yang sebelum ini hanya dikuasai lelaki," kata pelajar berusia 32 tahun itu.
Katanya, sebagai negara Islam, Turki boleh berbangga kerana pembangunan yang dicapai setakat ini turut disumbang oleh golongan wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang hasil reformasi republik hampir 80 tahun lalu.
Walau apa pun bentuk kejayaan yang dicapai oleh wanita Turki sehingga kini, ia tidak akan bermakna sama sekali sekiranya wanita melupakan tugas asalnya iaitu mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.
Sambil memetik kata-kata penyair Jalaludin Rumi yang memulakan perjalanan sufinya di Turki: "Wanita ialah cahaya dari Allah, dia bukan sekadar untuk dikasihi, tetapi ciptaan Allah yang istimewa."
Itulah kekuatan wanita Turki, yang ironinya lakaran kejayaan mereka bermula daripada usaha seorang lelaki -- Mustafa Kemal Ataturk. - Bernama
Pelik betul paper nih... Manusia yang bernama Kemal Atartuk nilah yang banyak menukarkan turki daripada Zaman pemerintahan Khilafah Islamiyah kepada pemerintahan berbentuk sekular... banyak pembaharuan yang 'membaratkan' sistem pamarintahan turki telah dilakukan...
Antaranya:
1) Menukarkan azan daripada bahasa arab kepada bahasa turki
2) Semua tulisan turki yang berunsurkan arab dihapuskan dan diubah kepada tulisan greek.
3) Menggalakkan meminum minuman keras dikhalayak ramai.
4) Menukarkan sistem pemerintahan Islam kepada sistem yang dipengaruhi oleh barat.
5) Menyuruh rakyatnya memakai pakaian yang mempunyai unsur barat seperti skirt, tali leher, topi...
Banyak lagi lah..... nak tulis pun xcukup dakwat...
Tapi memang mamat ni telah menghancurkan khilafah Islamiyah di Turki...
Tapi yang begitu menyedihkan adalah kenapala akhbar berbahasa melayu ni terlalu menyanjung sangat orang yang bernama kemal atarturk ni....
Memang kalau dibarat, kemal mendapat sanjungan tinggi... mungkin boleh dapat hadiah nobel kot.... macam presiden kedua Mesir... Anwar Sadat yang mati akibat dibunuh... die ni pun spesies macam Kemal jgk...
Anwar sadat ni adalah presiden Mesir yang ke tiga selepas Presiden yang kedua, Gamal Naseer mati... (ada yang mengatakan Gamal juga kene bunuh...) tapi tindakan Anwar Sadat yang pro kepada Israel dan AS ini menyebabkan bangkitnya sesetengah umat manusia untuk menentang sehingga terbunuhnya Anwar Sadat... Walaupun die mendapat sokongan daripada AS dan ISrael, tapi die tetap tidak dapat melindungi dirinya daripada ancaman bunuh menahan kemarahan rakyat yang beragama Islam di Mesir yang bencikan AS dan Israel ni...
Berbalik kepada cerita Kemal Atarturk td, sebahagian besar rakyat turki masih lagi belum sedar akan kejahilan mereka menyokong perubahan yang dibawa oleh Kemal Atarturk... Individu yang tidak diterima oleh Bumi ini semasa mahu disemadikan ini masih lagi dijadikan ikon oleh sebahagian rakyat Turki yang berfikiran sekular... Mudah-mudahan perubahan akan berlaku di Turki dan Islam akan kembali semula bersinar di seluruh muka bumi ini... Insya Allah.....

No comments:
Post a Comment